Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT telah berjaya dilaksanakan Bengkel Pengenalan Gendang Utara pada 14 Jun 2025 bertempat di Taboh Studio. Bengkel ini menghimpunkan seramai 10 orang peserta yang berminat mendalami seni muzik tradisional Melayu, khususnya dalam aliran Gendang Utara yang kaya dengan nilai sejarah dan identiti budaya.
Program ini merupakan salah satu inisiatif Pertubuhan Penggiat Seni Alam Melayu (PERNILAM) dalam usaha memperkenalkan serta memperkasa seni irama tradisional kepada masyarakat, di samping melahirkan lebih ramai penggiat yang memahami asas dan falsafah di sebalik permainan gendang dalam tradisi Melayu.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta diberikan pendedahan secara teori dan praktikal mengenai alat muzik gendang aliran utara, termasuk teknik asas paluan, struktur rentak serta peranan gendang dalam mengiringi persembahan seni seperti silat dan acara tradisi masyarakat Melayu.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan objektif penganjuran sedikit sebanyak telah tercapai, antaranya:
Memperkenalkan peserta kepada alat muzik tradisional Gendang Aliran Utara, termasuk teknik asas permainan serta konteks budaya yang berkait rapat dengan seni tersebut.
Memberi kefahaman tentang sejarah dan peranan gendang dalam tradisi muzik aliran utara yang menjadi nadi kepada persembahan seni tradisi.
Mempelajari teknik asas permainan gendang, termasuk koordinasi tangan dan kawalan tempo.
Menguasai beberapa pola dan irama tradisional yang menjadi asas kepada permainan gendang dalam gelanggang.
Menghayati budaya dan tradisi muzik aliran utara, sekali gus memupuk rasa cinta terhadap warisan seni Alam Melayu.
Semoga bengkel seperti ini terus menjadi platform pendidikan budaya yang bermanfaat serta membuka ruang kepada lebih ramai generasi muda untuk mengenali, mempelajari dan memelihara khazanah muzik tradisional Melayu agar terus hidup dan berkembang sepanjang zaman.
