Sembang Santai Budaya – Ritual Mandi Keris

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT telah berlangsungnya program atas talian Sembang Santai Budaya pada 13 Julai 2024 (Sabtu) jam 9.30 malam yang menampilkan perbincangan santai namun penuh pengisian ilmiah berkaitan Ritual Mandi Keris.

Program yang disiarkan secara langsung melalui platform TikTok, Facebook dan YouTube ini merupakan anjuran Pertubuhan Penggiat Seni Alam Melayu (PERNILAM) sebagai salah satu usaha berterusan dalam memberi pencerahan kepada masyarakat mengenai warisan budaya Melayu yang sering disalahfahami.

Bicara kali ini menampilkan perkongsian pengalaman dan pengetahuan daripada ahli PERNILAM sendiri, Cikgu Eszeree yang berpengalaman dalam bidang penjagaan dan kaedah mencuci keris. Beliau berkongsi tentang tatacara, tujuan sebenar, aspek penjagaan fizikal bilah serta nilai simbolik dalam tradisi masyarakat Melayu. Turut bersama ialah Ustaz Faeez, Timbalan Yang Dipertua PERNILAM, yang mengupas isu Ritual Mandi Keris dari sudut pandang agama Islam agar masyarakat memahami batasan akidah serta membezakan antara adat, budaya dan kepercayaan yang bercanggah dengan syariat. Sesi ini dikendalikan dengan penuh tertib dan santai oleh moderator, Cikgu Johari.

Perbincangan yang berlangsung secara terbuka dan berhemah ini berjaya memberi kefahaman yang lebih jelas kepada penonton tentang konsep sebenar mandi keris sebagai proses penjagaan warisan besi, bukan ritual pemujaan, di samping menekankan kepentingan memelihara akidah dan adab dalam mengangkat warisan budaya.

Semoga program seperti ini terus menjadi medium pencerahan dan pendidikan kepada masyarakat, serta mengukuhkan peranan PERNILAM dalam memartabatkan seni dan budaya Alam Melayu berteraskan ilmu, adab dan kefahaman yang sahih.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *