Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT telah berjaya dilaksanakan Bengkel Pengenalan Destar Negeri Terengganu pada 21 Jun 2025 bertempat di Taboh Studio, Pasir Gudang, Johor. Bengkel ini menghimpunkan seramai 10 orang peserta yang terdiri daripada ahli dan rakan penggiat seni budaya yang berminat mendalami seni lipatan destar sebagai sebahagian daripada warisan busana tradisional Melayu.
Program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Penggiat Seni Alam Melayu (PERNILAM) sebagai satu usaha memperluaskan kefahaman masyarakat terhadap seni pembuatan dan pemakaian destar yang menjadi lambang identiti, adab dan ketinggian budaya bangsa.
Sepanjang bengkel berlangsung, para peserta diberi pendedahan mengenai sejarah, struktur lipatan serta teknik asas dalam menghasilkan Destar Negeri Terengganu. Sesi pembelajaran dilaksanakan secara praktikal dan interaktif bagi memastikan setiap peserta dapat memahami proses lipatan dengan lebih jelas dan teratur.
Secara keseluruhannya, bengkel ini telah berjaya dilaksanakan dengan baik dan objektif penganjuran sedikit sebanyak telah tercapai, antaranya:
Memperkukuhkan pemahaman peserta terhadap warisan budaya serta nilai-nilai yang terkandung dalam pembuatan Destar Negeri Terengganu.
Memperkenalkan teknik-teknik penghasilan destar yang lebih sistematik bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti hasil kerja peserta.
Mengeratkan jalinan silaturahim dalam kalangan ahli-ahli PERNILAM dari pelbagai negeri serta ahli bersekutu yang berkongsi minat terhadap seni warisan.
Meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemuliharaan seni destar, sekali gus membuka potensi kepada penghasilan produk warisan yang mampu menarik minat pasaran dalam dan luar negara.
Semoga penganjuran bengkel seperti ini terus menjadi wadah pendidikan budaya yang bermanfaat serta membantu memastikan seni lipatan destar kekal terpelihara dan diwarisi oleh generasi akan datang sebagai khazanah berharga Alam Melayu.
