Majlis Sambutan Hari Raya Pernilam 2025 di Istana Puteri Bongsu, Bangi

Alhamdulillah, dengan izin Allah SWT telah berlangsungnya Majlis Sambutan Hari Raya PERNILAM 2025 pada 27 April 2025 bertempat di Istana Puteri Bongsu dalam suasana penuh meriah dan berbudaya.

Majlis yang dianjurkan oleh Pertubuhan Penggiat Seni Alam Melayu (PERNILAM) ini telah menghimpunkan seramai 50 orang tetamu yang hadir dengan mengenakan busana Melayu tradisional lelaki dan perempuan, sekali gus menyerlahkan keindahan pakaian warisan sebagai lambang adab dan identiti budaya bangsa.

Selain menikmati jamuan Hari Raya dalam suasana penuh ukhuwah dan silaturahim, majlis ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti berunsur tradisi yang mencerminkan kekayaan budaya Alam Melayu. Antara acara yang diadakan termasuk memanah tradisional, permainan tradisional seperti Congkak, Catur Melayu dan Batu Seremban, serta persembahan Silat yang mempamerkan keindahan seni bela diri warisan Melayu.

Gabungan elemen jamuan, permainan tradisional dan persembahan seni menjadikan majlis ini bukan sekadar sambutan Aidilfitri, malah satu platform untuk menghidupkan kembali amalan budaya yang semakin jarang dipraktikkan dalam kehidupan moden.

Semoga majlis seperti ini terus memperkukuh jalinan persaudaraan dalam kalangan ahli serta rakan sahabat PERNILAM, di samping menyemarakkan semangat memelihara dan memartabatkan warisan budaya Alam Melayu agar terus dihargai oleh generasi masa kini dan akan datang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *